RIBA BENTUK KONTEMPORARI( 29 MAY 06)

RIBA BENTUK KONTEMPORARI( 29 MAY 06)    

 

Bentuk Riba Dalam Konteks Semasa

Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Ab Rahman

Umum telah mengetahui bahawa antara perbezaan utama di antara Bank Islam dan Bank Konvensional adalah keterlibatan dengan Riba. Justeru penulisan ringkas kami kali ini akan membicarakan serba ringkas berkenaan Riba dan sikap Bank-bank Islam terhadapnya.

Riba dalam bentuk hari ini boleh berlaku dalam keadaan berikut :-

PERTAMA : Apabila seorang pelanggan datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi Kewangan yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk :-

a- Membeli kereta ( Car Loan )

b- Membeli rumah ( Home Loan )

c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )

d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )

e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )

Ketika itu, proses pinjam meminjam di antara kedua-dua pihak akan dibuat. Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si pelanggan B, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B, tetapi Bank menetapkan bunga atau faedah atau interest sebanyak 8 % daripada jumlah pinjaman itu ( RM 8,000) di bawah nama interest bagi membolehkan pelanggan mendapat wang yang diperlukan. 8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD. Sila lihat takrifan jenis riba ini sebelum ini.

 

Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan pula mengikut bulan. Menurut Shariah, jumlah RM 8,000 yang diperolehi ini adalah hasil bank yang haram secara pasti. Pelanggan yang memberi RM 8,000 tadi juga dikira bersuhabat dan terlibat secara langsung dengan Riba. Nabi SAW menyebut “ Si pemberi (riba) dan si pengambil Riba adalah sama” ( Riwayat Muslim )

 

Persoalannya : Mengapa pula ia di haramkan ? apa salahnya peminjam dikenakan interest ? ,

Sebagai jawapan, ia diharamkan kerana :-

· Eksploitasi kesusahan pelanggan : Hasil RM 8,000 itu sebenarnya diterima hasil daripada mengeksploitasikan kesusahan pelanggan. Iaitu, hanya pelanggan yang mempunyai keperluan kewangan mendesak terpaksa pergi ke Bank bagi mendapatkan pinjaman untuk merawati masalah kewangannya, tetapi dalam keadaan kewangannya mendesak, pihak Bank pula mengenakan bayaran tambahan (interest) atas pinjaman yang diberikan. Inilah yang dinamakan riba itu menekan dan menindas, di tambah pula apabila si pelanggan gagal membayar bayaran bulanan yang telah ditetapkan oleh pihak Bank. ketika itu, peminjam dikehendaki membayar penalti pula, penalti ini juga bersifat “compounding” ( iaitu akan dimasukkan di dalam modal pinjaman dan akan berganda interestnya), ia adalah Riba yang menekan.

Adapun, di dalam pengamalan perbankan Islam yang mengenakan sejumlah wang sebagai denda atau bayaran kos rugi (ta’widh atau compensation) yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang ditetapkan, pembaca perlu membezakan bayaran denda yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh Bank Konvensional.

 

Denda lambat bayar yang di kenakan oleh Bank Islam adalah berdasarkan proses jual beli secara bayaran ansuran manakala penalti Bank Konvensional adalah hasil dari kontrak pinjaman, maka apabila bayaran ansuran tidak dilangsaikan pada waktunya, ta’widh akan dikenakan. Ta’widh yang dikenakan oleh Bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakkan Bank-bank Islam di Malaysia seperti RHB Islamic Bank Berhad.

 

 

· Meruntuh Moral dan Akhlak : Faedah (interest) atau Riba yang dikenakan juga akan menyebabkan pudarnya akhlak mulia bantu membantu di dalam masyarakat, ia mengundang sikap orang yang berduit untuk menekan individu atau pihak yang memerlukan bantuan kewangan. Ini bakal menghancurkan sifat tolong menolong di antara manusia. Selain itu, ia bakal melahirkan masyarakat yang marah dan tertekan antara satu sama lain. (Tahrim ar-Riba, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, hlm 55 ; Ar-Riba wal Mua’malat al-Masrafiah, ibid, hlm 167 ; Hikmatu at-Tasyri’ al-Islami fi Tahrim ar-Riba, Dar as-Sahwah, cet 2, 1407 H, hlm 63 ( dengan pindaan dan tambahan) )

· Menyubur Sikap Si Kaya Malas Bekerja & Kurang Dinamik: Ia juga bakal melahirkan orang kaya atau Bank yang malas untuk bekerja keras bagi mencari keuntungan secara jual beli dan mengambil risiko, mereka akan mula berfikir mencari untung secara mudah, iaitu dengan memberi pinjam serta mengenakan interest. Lalu dengan cara ini mereka boleh mendapatkan untung dengan mudah sahaja. Islam tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras, dan Islam juga hanya menerima konsep : “Al-Ghunm Bi Al-Gurmu” ertinya : “Keuntungan adalah dengan menghadapi risiko”

Lihatlah bagaimana displin Islam dalam memastikan setiap individu menyumbang sesuatu kerja yang baik dan meningkatkan kualiti ekonomi. Dengan wujudnya usaha-usaha sebegini bertambahlah peluang kerja, semakin meriahlah suasana ekonomi dan berkurangan jumlah pengangguran.

Perlu diketahui bahawa, disiplin Islam dalam perihal pinjam meminjam yang dibenarkan hanyalah pinjaman tanpa sebarang faedah. Sebagaimana di sebutkan dalam kaedah :

كل قرض جرّ نفعاً فهو الربا

Ertinya : “Setiap pinjaman yang membawa kepada sesuatu manfaat buat pemberi pinjam maka ia adalah Riba” (Rujuk Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232 ; Nasb ar-Rayah, az-Zayla’ie, 4/60 ; Ramai yang menyebut ia adalah hadith Nabi, tetapi menurut setelah dianalisa, terdapat perawinya ( Sawwar Bin Mus’ab ) yang lemah dan di anggap “matruk”. Bagaimanapun makna yang terkandung di dalamnya disokong oleh pelbagai dalil lain dan diterima oleh majoriti ulama Islam.)

 

Islam amat menggalakkan pinjaman tanpa faedah ini sebagaimana disebut oleh Baginda SAW :

“ Pada malam aku dibawa ke syurga (semasa Israk Mi’raj), aku telah melihat tertulis di dalam pintu Syurga “ Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali..”( Riwayat Ibn Majah)

Imam Ibn Quddamah berkata :

كل قرض شرط فيه أن يزيده فهو حرام بغير خلاف

 

Ertinya : “Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya untuk diberikan tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang khilaf” (Al-Mughni, 4/318 )

 

Justeru, tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).

 

 

– Bersambung-

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: