Tugas Sebuah Negara Islam

Tugas Sebuah Negara Islam    

Menghayati Fiqh Siyasah : Siri 3 ( sambungan )

Oleh :

Ust Zaharuddin Abd Rahman

DAWLAH ISLAMIAH MADANIAH

Ciri –ciri utama

Al-Imam Al-Mawardi As-Syafie (450 H) di dalam Al-Ahkam as-Sultaniyah[1]. Bersumberkan kefahaman dari Nas Quran dan Sunnah Nabawiyah, beliau menggariskan tugas-tugas di dalam sebuah kerajaan Islam tulen antaranya :

1) Menjaga agama di atas usul-usulnya yang tetap dan yang diijmakkan ulama’ salaf soleh, serta menjalankan kewajiban hak-hak, hudud agar agama terjaga daripada kehancuran.

2) Melaksanakan hukum di antara dua kumpulan berpecah dan menamatkan permusuhan sengketa

3) Menjalankan hukum hudud bagi menjaga larangan Allah daripada dicerobohi serta menjaga hak manusia.

4) Jihad menentang pengingkar Islam setelah dakwah.

 

 

Pemfokusan penulisan ini meringkaskan kepada beberapa aspek sahaja dari keutamaan sebuah negara kebajikan Islam.

1. Perlembagaan Dan Kekuasan Perundangan

Hanya al-Quran dan al-Sunah menjadi rujukan utama selain Ijma’ dan Qiyas.

Sesungguhnya penurunan syariat Islam adalah demi menjaga kepentingan manusia dan kebajikan mereka [2]. Justeru, semua pihak samada muslim atau non-muslim tidak perlu takut terhadap pelaksanaan ini, tiada sebarang kezaliman akan berlaku terhadap semua pihak, malah kebajikan mereka akan lebih terjamin.

 

 

2. Pemerintah

Pemerintah bagi sesebuah negara Islam akan dilantik dari kalangan mereka umat Islam yang berilmu, komited dalam ajaran Islam, mempunyai kekuatan fizikal dan mental dan lain-lain. Imam Al-Mawardi menggariskan sebanyak 7 sifat, Imam al-Ghazali menyebut 10 sifat, Ibnu Khaldun dan Al-Baghdadi menetapkan 4 sifat. Secara umumnya semuanya menyebut perkara :

i. Berugama Islam.

ii. Mujtahid atau berilmu dalam hukum syarak dan memahami masalah semasa.

iii. Adil (menurut Imam Bukhari iaitu wara’ dan taat serta iltizam dengan perintah Allah)

iv. Berkemampuan mental dan fizikal

v. Lelaki (Bagi kepimpinan tertinggi atau wilayah ‘ammah dengan ikhtilaf di kalangan ulama’)

vi. Berpengaruh (mendapat sokongan rakyat)

3. Kaedah Pemerintahan

i. Secara Syura (input dua hala antara pemerintah-pemerintah dan pemerintah-rakyat )

Dawlah Islamiyyah bukan sebuah negara teokrasi yang menindas rakyat atas nama ketuhanan. Bahkan ia sentiasa membuka ruang daripada rakyat samada dari kalangan Islam mahupun bukan Islam untuk mengkritik kepimpinan apabila melakukan kezaliman serta terpesong dari landasan keadilan hakiki.

Konsep ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika :

· Membuka ruang pandangan para sahabat ketika ingin memutuskan tindakan perang atau tidak semasa kisah peperangan badar sebagaimana sabda baginda :

أشيروا علي أيها الناس

( Mafhum : berikan pandangan kamu wahai para sahabatku) sebanyak beberapa kali bagi memastikan wakil sahabat-sahabat besar, wakil kaum Muhajirin serta Ansar memberikan pandangan mereka sebelum meneruskan rancangan merampas kembali hak umat Islam dari rombongan Abu Sufyan.

 

 

· Menerima pandangan Salman Al-Farisi dalam tektik perang dengan menggali parit ketika perang Khandaq (Ahzab)

· Menerima pandangan sahabat bernama al-Habbab Ibn Munzir ketika perang Badar dalam menentukan kawasan terbaik untuk berkubu.

· Menerima pandangan sahabat untuk keluar dari Madinah ketika perang Uhud walaupun Rasulullah lebih berat untuk berkubu di Madinah.

· Menerima pandangan Umm Salamah dalam isu ber’tahallul’ keluar dari ihram haji selepas perjanjian Hudaibiyah termeterai.

Dr Sadiq Abd Al-Azim Abu Hasan dalam kajiannya yang mendalam berkenaan Syura berkata : ..“ dari pelbagai bentuk syura yang di amalkan oleh Rasulullah SAW di dalam keadaan yang pelbagai, ia membuktikan bahawa Nabi SAW sengaja membiarkan agar pelaksanaan konsep syura dibuat dalam bentuk yang bersesuaian menurut keadaan dan keperluannya“ [3]

Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Syeikhul Azhar) pula menegaskan bahawa persitiwa-peristiwa sejarah tersebut telah meletakkan satu bentuk asas yang amat penting dalam sesebuah negara adil Islam. Iaitu prinsip mendengar pandangan rakyat sebelum bertindak [4]. Malah Hadith dari Abu Hurairah menyatakan :

 

( ما رأيت أكثر مشاورة لأصحابه من رسول الله ( رواه البخاري و البيهقي

Mafhum : “Tiadalah aku melihat manusia yang lebih banyak bermesyuarat dengan sahabatnya lebih dari Rasulullah SAW” ( Riwayat Al-Bukhari)

Hasilnya, menurut Imam al-Qurtubi al-Maliki, telah berlaku ijmak (persepakatan) seluruh umat mujtahid dalam perkara kewajiban syura, sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Atiyyah : “Syura adalah dari asas syariat dan ketepatan hukum barangsiapa tidak bermesyuarat dengan ahli ilmu maka berpisah dengannya wajib” [5]

 

 

ii. Mendokong Keadilan Buat Semua

Firman Allah :

(إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل..(النساء : 58

Mafhum : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah terhdp manusia, dan apabila kamu berhukum maka hendaklah kamu menghukum dengan seadil-adilnya..” ( An-Nisa’ : 58)
Manusia adalah sama dari apa jua bangsa, warna kulit, bahasa dan sebagainya, perbezaan hanya terletak pada ketaqwaan kepada Allah SWT, itulah neraca perbezaan mereka di sisi Allah.

Sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran dan hadith-hadith yang mashyur, Malah terdapat juga Athar yang menyebut :

الناس سواسية كأسنان المشط

Ertinya : “Manusia adalah sama sebagaimana samanya gigi-gigi sikat” [6]

Keadilan yang disebut ini juga telah diterjemahkan secara praktikal oleh Rasulullah SAW serta para sahabat baginda tanpa dipengaruhi oleh harta, pangkat atau apa jua perhiasan dunia, ia dapat dilihat dalam peristiwa berikut:-

1. Rasullullah memberi peluang kepada sahabat bernama Sawad Bin Ghaziah untuk membalas apabila Rasulullah SAW menolak perutnya dengan busar panah hingga menyakitinya apabila ingin meluruskan saf pembarisan tentera. [7]

2. Ibnu Qayyim mencatatkan di dalam kitabnya ‘Turuq Hukmiah’. Khalifah Umar al-Khattab semasa menjadi amir al-mukminin bertanya kepada rakyat apakah pandangan mereka sekiranya seorang amir sepertinya melihat maksiat dilakukan oleh seorang perempuan. Berkata Ali KW bahawa beliau wajib menghadirkan empat (4) orang saksi atau akan disebat dengan had Qazf, Ali KW akhirnya berkata;

شأنه في ذلك شأن سائر المسلمين

Mafhumnya : “Urusannya ( khalifah dalam hal kehakiman) adalah sama seperti seluruh muslimin yang lain ( tanpa imuniti atau kelebihan).”
Jelas, tiada perbezaan dan kekebalan bagi pemimpin, walaupun Khalifah Umar r.a ketika itu bertaraf Perdana Menteri atau Presiden bagi seluruh umat Islam.

3. Khalifah Ali KW pernah dibawa ke mahkamah akibat pertikaiannya dengan seorang Yahudi berkenaan baju besi miliknya yang didakwa dicuri oleh si Yahudi, apabila mahkamah menjalankan perbicaraan Ali KW gagal mengemukakan bukti jelas akhirnya, Yahudi berhak ke atas baju tersebut walaupun sememangnya ia adalah milik Khalifah Ali KW. Keadilan kehakiman Islam yang tegas tanpa membezakan samada ketua negara Islam yang dibicarakan, bahkan walaupun tertuduh merupakan seorang Yahudi, dakwaan tetap memerlukan bukti jelas [8]. Dalam Islam juga, seorang Qadhi boleh untuk menolak hujjah Khalifah sekiranya hujjahnya tidak memuaskan sebagaimana yang berlaku kepada Ali KW, juga Umar ra.

Pemerintahan Islam juga berdiri tegas terhadap tuduhan-tuduhan jenayah atau seumpamanya sebagaimana hadith Nabi SAW :

البينة على المدعي واليمين على من أنكر

Mafhum : Bukti yang jelas bagi mereka yang mendakwa, serta sumpah ( hak pembelaan) bagi mereka yang ingin menafikannya” [9]
Demikianlah Islam mengganggap bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibukitikan bersalah : Ini juga dapat dilihat dari sebuah kaedah fiqhiyyah yang menyebut [10] :

الأصل براءة الذمة

Mafhum : Asal (dalam tuduhan jenayah) adalah tiada bersalah (kecuali setelah dibuktikan)”
Jelas sekali bahawa Islam serta sistem kehakimannya yang begitu adil dengan menjaga hak individu, tiada siapa yang terkecuali dari sebarang hukuman (jika benar-benar bersalah) hatta ia seorang ketua negara.

Ketua Negara Islam juga dituntut oleh Allah SWT untuk melaksanakan keadilan di kalangan rakyatnya sebagaimana firman Allah :

يا داوود إنا جعلناك خليفة في الأرض فاحكم بين الناس بالحق ولا تتبع الهوى فيضلك عن سبيل الله

(إن الذين يضلون عن سبيل الله لهم عذاب شديد بما نسوا يوم الحساب (ص:26

Mafhum : “ Wahai Daud, sesungghunya kami telah menjadikan kamu sbagi pemerintah di atas muka bumi, maka wajiblah kamu menghukumi mereka dengan kebenaran dan jangnlah kamu mengikuti hawa nafsu, ( kalau kamu mengikuti nafsu) nescaya nanti ia menyesatkan kamu dari jalan Allah, ….”
Kewajiban juga tertanggung di atas bahu pemerintah untuk MENASIHATI RAKYAT KEPADA KEBAIKAN ISLAM, sebagaimana sabda Nabi SAW :

ما من عبد يسترعيه الله رعية فلم يحطها بنصحه إلا لم يجد رائحة الجنة

Ertinya : “Tiadalah seseorang yang Allah berikannya kuasa sebagai pimpinan, kemudian ia tidak memberikan rakyatnya nasihat-nasihat Islam kecuali ia tidak akan mendapat kmencium bau syurga di akhirat kelak “ [11]

Dengan ini juga, negara kebajikan Islam bukan sebuah negara teokrasi tetapi adalah negara madani yang sentiasa membangun rohani dan fizikal negara. Ia bukan negara yang hanya hanyut dalam mengejar tamadun ‘maddiyah’ bahkan sebuah negara yang sedar bahawa kebangunan material mesti dibina atas keutuhan, kejujuran iman dan hati rakyat kepada penciptanya. Dengan itu negara pasti mencapai kebahagian hakiki.

iii. Persamaan Hak ( المساواة )

Firman Allah SWT :

من عمل صالحا من ذكر أو أنثى وهو مؤمن فلنحيينه حياة طيبة ولنجزينهم أجرهم بأحسن

(ما كانوا يعملون( النحل: 97

Mafhum : “Barangsiapa yang membuat amalan soleh dari kalangan lelaki atau wanita dalam keadaan mereka beriman, nescaya pastilah kami menghidupkan mereka kelak (di akhirat) dengan hidup yang baik, dan kami kurniakan balasan sebagaimana sebaiknya amalan yang telah mereka lakukan” ( An-Nahl : 97)
Ayat di atas dengan jelas menyebut bahawa hak individu lelaki dan wanita Islam dalam merebut kedudukan di sisi Allah SWT adalah sama. Justeru, bahagian ini akan cuba menyentuh beberapa isu berkaitan persoalan persamaan ini.

Topik persamaan berkisar tentang beberapa kumpulan manusia antaranya:

i. Hak wanita

Menurut Islam, lelaki dan wanita adalah sama dari sudut kehormatan diri, hak pemilikan harta benda, moral, beragama. Persoalan semasa yang sering berbangkit berkenaan wanita adalah:

· Adakah mereka berhak menjadi pimpinan utama bagi sesebuah negara?

Sabda Nabi SAW :

لن يفلح قوم ولو ا أمرهم إلى امرأة

Mafhum :” Tiada akan berjaya ( selama2nya) suatu kaum yang dipimpin urusan negara mereka oleh wanita” [12]
Mengimbas sebab ‘wurud’ hadith ini (sebab hadith ini diungkapkan oleh Rasul SAW) adalah apabila Rasul diberitahu bahawa kerajaan Rom telah diterajui oleh wanita ; lalu sebagai respond Rasulullah SAW menyebut seperti hadith di atas. Ini jelas menunjukkan bahawa konteks hadith di atas adalah ditujukan kepada persoalan kepimpinan negara bagi wanita.
Bagi menjelaskan topik ini, perlu disedari bahawa bentuk kepimpinan dalam sebuah negara Islam dibahagi kepada :-

1) Wazarah at-tafwid ( التفويض ) yang membawa maksud kepimpinan yang menentukan dasar atau mereka yang dilantik oleh Imam untuk melaksanakan tugas pentadbiran dengan kebijaksanaannya dan ijtihadnya [13] . Kepimpinan Tafwid memegang bahagian :

· Wilayah al-Mazalim (tugasnya mengambil tindakan ke atas pemerintah, pegawai tinggi kerajaan yang tidak termasuk dalam bidang kuasa mahkamah biasa).

· Wilayah al-Jihad (Berperanan dalam bidang ketenteraan).

· Wilayah al-hisbah (menjaga kewajiban amar makruf nahi mungkar samada berkaitan pemerintah atau rakyat).

· Berhak menjalankan tugas perlaksaan sesuatu dasar.

· Berhak mewakili kepimpinan utama.

· Berhak mendapat kebajikan sebagaimana yang diperolehi oleh ketua negara.

Tetapi mereka tidak mempunyai hak dalam bidang :

1. Wilayah al-‘ahd iaitu kuasa ‘melantik’, mereka tidak mempunyai kuasa melantik seseorang lain bagi melaksanakan urusan khalifah.

2. Kuasa mengampun.

3. Hak menyingkir individu yang dilantik sebagai khalifah.

Contoh semasa di Malaysia bagi kepimpinan ini adalah Perdana Menteri, Presiden, Ketua Hakim atau Hakim, Menteri-menteri yang memegang dasar dan menjalankan tugas yang diberikan oleh Perdana Menteri menurut ijtihad dan pemikirannya termasuk juga Menteri Besar (menurut ijthad adalah dalam perkara ijtihadiyah atau tidak mempunyai dalil yang qat’ie). Menurut Al-Mawardi juga wazarah (kementerian) ini terbahagi kepada dua:

i. Wazarah Tafwid ‘Ammah

ii. Wazarah Tafwid Iqlimiah (yang bertanggung jawab dalam pentadbiran sesebuah iqlim) iaitu seperti menteri besar di sesebuah negeri)

2) Wazarah at-tanfiz ( التنفيذ ) iaitu kepimpinan yang melaksanakan dasar yang telah ditentukan, mereka cuma mempunyai kuasa dalam mempelbagaikan kaedah perlaksanaan kepada dasar tadi tapi tidak dalam mengubah polisi. Mereka menjadi orang tengah di antara rakyat dan pemerintah [14]. Contoh semasa seperti Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Parlimen, Pegawai Daerah, Ketua Jabatan-jabatan Kerajaan.

– bersambung –

© HAKCIPTA TERPELIHARA. zaharuddin.com, Malaysia.

——————————————————————————–

[1]. Hlm 27

[2]. I’lam al-Muwaqqi’ien, Ibn Al-Qoyyim, 3/11 cet dal kutub al-ilmiah

[3]. As-Syura Al-Islamiyyah Wa Ad-Demokratiah al-Mu’asiroh, Majallah As-Shariah Wa Ad-Dirasat Al-Islamiyah, Bil 22, 1995, hlm 33

[4]. Min Tawjihat al-Islam, hlm 522

[5]. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Jld 4, hlm 249

[6]. Al-Lali’ al-Masnu’ah, As-Suyuti, 2/156 ; Tarikh al-Baghdad, 7/57 ; Albani menyatakannya ia hadith Dhoif (As-Silsilah ad-Dho’ifah, 596)

[7]. As-Sirah An-Nabawiyyah, Ibn Hisham, 1/626

[8]. Al-Ahkam as-Sultaniyyah, Abu Ya’la Al-Farra’ : hlm 66

[9]. Riwayat At-Tirmidzi, (no 1341); Pada sanadnya terdapat komentar di kalangan ulama hadith; bagaimanapun Syeikh Albani menyatakan hadith ini shohih.

[10]. Asbah wa an-Nazair, Imam Jalaluddin as-Sayuti, hlm 74

[11]. Riwayat al-Bukhari , no 6731

[12]. Riwayat al-Bukhari (Kitab al-Maghazi dan Kitab Fitan), al-Tirmizi dalam bab Fitan, An-Nasa’ie bab Qadha (kehakiman) dan Riwayat Ahmad. Bagaimanapun terdapat perbezaan lafaz serba sedikit, tetapi makna yang sama.

[13]. Al-ahkam as-Sultaniyyah, al-mawardi, hlm 33

[14]. Al-Ahkam as-Sultaniyyah, hlm 36

2 Comments

  1. cidos said,

    April 5, 2007 at 12:28 pm

    apakah ada syarat untuk mengambil artikel ini untuk dipublish dalam blog atau website sendiri?

  2. melayu007 said,

    April 5, 2007 at 12:41 pm

    Tiada apa-apa syarat asalkan mengekalkan ‘original’nya.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: