Memahami Fiqh Siyasah Islam (siri 2)(29 MAY 06)

Memahami Fiqh Siyasah Islam (siri 2)(29 MAY 06)    

 

 Fiqh Siyasah : Siri 2 ( sambungan )

Oleh :

Ust Zaharuddin Abd Rahman

 

 

Cabaran Sekularisme Dalam Fahaman Politik Semasa

Akibat pegangan fahaman pemisahan Ad-Deen (Islam) daripada urusan kehidupan serta menyerahkan urusan ad-deen kepada individu, serta tidak menjadi tanggung jawab pemerintah maka sehingga kini bentuk-bentuk sekular semakin berkembang biak memasuki bidang pendidikan, kemasyarakatan, politik, ekonomi dan hampir menyelinap di semua aspek kehidupan umat Islam masakini. Keadaan ini menyebabkan ilmu Islam dipandang remeh, sampingan, tiada harga, second class dan sebagainya. Harta dan pangkat keduniaan dilihat dengan penuh liuran dan rakus, sekiranya keadaan ini berterusan, pasti akan lahir masyarakat perosak, keamanan lenyap sedikit demi sedikit, Islam hanya di masjid, itu pun hanyalah persoalan tertentu daripada juzu’ kecil ilmu Islam.

Alangkah malang, sekiranya golongan terpelajar dari generasi muda, terutamanya yang mempelajari Islam juga terhanyut jauh dalam suasana tersebut tanpa memahami tuntutan semasa Islam. Kerana itulah, memahami Politik Islam sepatutnya menjadi ‘compulsory subject’ bagi kita samada suka atau tidak, kerana tiadalah kuat Islam tanpa politik dan politik akan hancur tanpa aqedah.

Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah ( m 728 H ) :

يجب أن يعرف أن ولاية الناس من أعظم الواجبات الدينية بل لا قيام إلا بها

Mafhum : “ Wajib diketahui bahawa kekuasan ke atas manusia adalah sebesar-besar tuntutan agama, bahkan tiada dpt mendirikan agama kecuali dengannya” [1]

Aqidah sebagai asas kekuatan manusia, tanpanya generasi manusia pasti menyesal di akhirat nanti. Firman Allah SWT

 

 

(ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو في الآخرة من الخاسرين(ال عمران:85

Mafhum : sesiapa yang mengikuti selain Islam sbagi cara hidupnya maka tidak akan sekali2 diterima oleh Allah dan ia di akhirat akan menjadi org2 yang rugi” ( Al-Imran : 85)

 

Bagi tujuan tersebut, pembaca harus memahami bahawa Islam akan sentiasa diperintah selagi mana Islam tidak menguasai tampuk pemerintahan, tujuan menerajui pemerintahan tidak akan terlaksana tanpa politik. Justeru penyertaan politik semasa bagi umat Islam adalah juga suatu kewajiban, sebagaimana wajibnya membawa Islam ke tampuk kekuasaan penuh demi kebaikan seluruh rakyat.

 

Terdapat Qaedah Fiqhiyyah yang menyebut :-

للوسائل حكم المقاصد

Ertinya : “ Hukum bagi jalan-jalan dan alat, adalah sama dan menurut hukum tujuan” [2]

الحريم له حكم ما هو حريم له

Ertinya : “Apa yang berada disekeliling yang haram maka hukumnya juga adalah haram” [3]
Menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti As-Syafie dan al-Syeikh Muhd Zarkasyi al-Syafie (pengarang kitab al-Bahrul Muhit) berkata ‘al-harim’ termasuk dalam perkara wajib lalu timbullah kaedah :

 

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Mafhum : Kewajiban yang tidak dapat disempurnakan, kecuali dengan adanya ‘ia’, maka ‘ia’ juga menjadi wajib (sebagaimana perkara wajib itu)” [4]

Ia juga diistinbadkan dari ayat ;

(ولا تقربوا الزنى إنه كان فاحشة وساء سبيلا (الإسراء:32

Mafhum : “ Janganlah kamu menghampiri zina, kerana sesungguhnya ia adalah pekerjaan yang teramat buruk dan seburuk-buruk jalan” ( Al-Isra’ : 32 )

Justeru ‘jalan-jalan’ kepada tertegaknya sebuah negara adil Islam juga menjadi wajib sebagaimana wajibnya menegakkan negara tersebut. Kita tidak boleh meredhai situasi Islam diperintah, ketidak keredhaan itu merupakan suatu keimanan dan keyakinan . Perihal sifat ini iman pernah dinayatakan di dalam sebuah Hadith :

 

ليس الإيمان بالتمني والتحلي ولكن ما وقر في القلب وصدقه العمل

Mafhum : Tidaklah iman itu dengan angan-angan dan perhiasan, tetapi ia adalah apa yang teriqrar di dalam hati dan dibenarkan oleh amalan” ( dari Anas Bin Malik, dikeluarkan oleh ad-Dailami dan Ibn Najar) [5]

Sesungguhnya keredhaan kepada sesuatu beerti keredhaan kepada hasil yang timbul darinya, sebagaimana kaedah fiqhiyyah :

الرضا بالشيئ رضى بما يتولد منه

Mafhum : Redha dengan sesuatu bermaksud, redha jua dengan apa yang bakal terbit darinya”

Justeru, redha dengan kekufuran boleh membawa hukum kufur jua, manakala redha dengan sistem yang bertentangan dengan Islam memerintah Islam, bermakna redha Islam diperintah. Sabda Nabi SAW :

من جعل القرآن أمامه قاده إلى الجنة , ومن جعل القرآن خلف ظهره ساقه إلى النار

Ertinya : “Barangsiapa yang menjadikan Al-Quran di hadapannya ( ikutannya ), maka ia akan membawa pengikutnya ke Syurga, dan barangsiapa yang menjadikan al-Quran di belakangnya, nescaya ia akan mengheretnya ke neraka”( Riwayat Ibn Hibban)[6]

Dawlah Islamiyyah

Para Ulama Islam mempunyai pelbagai takrifan berkenaannya, justeru adalah baik jika kita dapat melihat ta’rifannya menurut ulama silam dan mutakhir terlebih dahulu.

Ta’rif Dawlah Islamiyyah

Berikut adalah takrifannya menurut para ulama :-

Imam Al-Sarakhasi : Menurut Imam Abu Hanifah: “Ianya tempat yang berada di bawah pemerintahan orang Islam, tandanya ialah apabila orang Islam aman di bawahnya”

Imam Abu Yusuf dan Muhd al-Hasan al-Hanafi & Mazhab Hanafi secara umum : “Sebuah negara di mana hukum Islam terzahir secara jelas di dalamnya “ [7]

Al-Khatib al-Baghdadi (429 H) : Negara yang masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, dilaksanakan hukum-hakam Islam, manakala ahli Bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah” [8]

Imam Abu Hasan As-Sya’ari (324 H) : “Negara Islam ialah negara yang berada di bawah penguasaan Islam dan dilaksanakan setiap hukum-hakam dan Syiar Islam” [9]

Syeikh Islam Imam Ibn Taymiah (728 H) : “Status negara sebagai Islam dan Kufur tidak tetap , bahkan ia adalah sifat yang ditentukan oleh sifat penduduknya, maka setiap negara yang mana penduduknya bertaqwa dan beriman, ia adalah negara Islam ketika itu,” [10]

Imam Ibn Al-Qoyyim (751 H) : “ Ia adalah negara yang diduduki oleh kaum muslimin dan terlaksana hukum Islam di dalamnya” [11]

Syeikh As-Syahid Sayyid Qutb (1969m): “Setiap negara yang melaksanakan hukum Islam , dan Syariah Islam menguasai negara, samada ahlinya semua muslim mahupun majmu’ [12]

Syeikh Sa’id Hawwa (1989 M) : “Negara yang meletakkan undang-undang Islam yang tunggal untuk mentadbir negara, ia dipimpin oleh orang Islam yang komited dengan ajaran agamanya..” [13]

Syeikh Muhammad Abu Zahrah (1974 M) : “Ia adalah negara yang pemerintahnya adalah muslim, dan kuasa kententeraan dan keamanan di tangan orang Islam” [14]

Syeikh Abul A’la al-Maududi (1979 M) : “Negara yang dibentuk berasaskan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW, kedua-dua sumber ini berfungsi sebagai pembimbing negara yang memberi keadilan kepada rakyat” [15]

Prof. Dr Muhd Salam Madkur [16] : Para Fuqaha mentakrifkan Dar Islam sebagi sebuah negara yang dipandu oleh hukum Islam, hukum-hakam Islam juga diamalkan di dalamnya. Sekiranya tidak, maka ia tidak boleh digelar Dar Islam yang sempurna” [17].

Para Fuqaha’ juga telah membahagikan Negara Islam ini kepada beberapa jenis [18] :

a. Darul ‘adl wa madan : Negara yang diperintah berlandaskan syariat Islam dengan adilnya serta membangunkan negara melalui tatacara yang sihat dan nilai murni.

b. Darul Bagh : Negara yang diperintah oleh umat Islam yang menderhaka kepada kerajaan Islam yang adil.

c. Darul Bid’ah : Negara yang diperintah oleh orang Islam yang bercanggah dengan ajaran sebenar Islam

d. Darul Maslubah : Negara umat Islam yang dijajah oleh orang bukan Islam.

Apapun takrifan bagi negara Islam, hakikatnya tiada ertinya sebuah negara Islam tanpa pelaksanaan syariat Islam didalamnya kerana ia tidak akan mampu mengembalikan Islam ke mercunya yang sebenar.

– bersambung –

……………………………………………………………………….
[1]. As-Siyasah as-Syar’iyyah Fi Islah ar-Ra’ie wa ar-Ra’iyyah, Ibn Taimiyah, hlm 217[2]. ‘I’lam al-Muwaqqi’ein , Ibnu al-Qoyyim, , 3/108 , cet Dar al-Kutub al-‘Ilmiah

[3] Al-Asbah Wa An-Nazair, Jalaluddin As-Suyuti, hlm 162

[4]. Tabyinul Haqaiq Syarh Kanz ad-daqaiq, Az-Zayla’ie , 2/97 ; Al-Inayah Syarh al-Hidayah, Muhd Bin Mahmud Al-Babirti, 1/20 ; Al-Bahr Al-Raiq, Ibn Nujaim, 1/64 ; Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi , hlm 106 , cet . Dar al-Qalam

[5]. Imam As-Suyuti mengatakan hadith ini Dhoif, tetapi Al-Albani mengatakan ianya mawdu’. Lihat Dhoif al-Jami’ as-Shoghir wa ziyadatihi, hlm 700

[6]. Sohih Ibn Hibban, no 1793 ; sohih menurut Ibn Hibban ; hasan menurut al-qaradawi di dalam al-Muntaqa Min Kitab at-Targhib wa at-Tarhib lil Munziri, no 779, 1/419 (cet Dar al-Wafa)

[7]. Badai’ as- Sanoi’ , Al-Kasani, 7/130

[8]. Usuluddin, al-Khatib, hlm 270

[9]. Maqalat al-Islamiyyin wa aikhtilaf al-Musollin, hlm 22

[10]. Fatawa, 18/182

[11]. Ahkam Ahli Dzimmah, 1/266

[12]. Fi Zilal Al-Quran, 2/822

[13]. Jundullah thaqafatan wa akhlaqan, hlm 35

[14] . Al-‘Alaqoh al-Dawliyyah, hlm 3

[15]. Nazariyat al-Islamiyyah, hlm 41

[16] Beliau merupakan Profesor dan Ketua Jabatan Syariah Kaherah, Mesir. Juga merupakan prof di Kuwait.

[17]. Ma’alim ad-Dawlah al-Islamiyyah, hlm 60

[18]. Sistem Pemerintahan Negara Islam, Abd Hadi Awang.

1 Comment

  1. deni said,

    November 16, 2007 at 1:13 pm

    web ini sangat membantu dalam mencari data tugas kuliah, dan juga menambah waasan dalam dunia islam


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: