Tesis MA Ust. Hj. Zaharuddin Abdul Rahman

Tesis MA Ust. Hj. Zaharuddin Abdul Rahman    

Terjemahan Teks Kata Aluan & Pendahuluan Tentang Kepentingan Tesis Oleh :  Syeikh Prof. Dr. Muhammad ‘Uqlah Al-Ibrahim

PROFESOR FIQH PERBANDINGAN DAN BEKAS DEKAN KULIAH SYARIAH DI UNIVERSITI AL-YARMOUK DAN ‘IRBID AHALLIYAH’

Segala pujian bagi Allah , selawat dan salam buat rasul penutup segala Nabi dan Rasul. Sesungguhnya ilmu-ilmu Syari’ah adalah pokok-pokok yang meluas bayang-bayangnya, lebat buahnya , yang memberi hasilnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya buat seluruh penuntut ilmu yang ingin berteduh di bawahnya, dan mengutip mutiara buah-buahnya. Sesungguhnya ia tidak dapat diperolehi kecuali setelah diindahkan penelitian dan penjagaan keatasnya (ilmu-ilmu syariah), serta mempertaruhkan seluruh kemampuan aqal dan hatinya dengan ikhlas.

 Ilmu Fiqh menduduki kedudukan tertinggi di antara ilmu-ilmu syari’ah, Bagaimana tidak, Allah SWT telah menyebutkan tentangnya secara khas di dalam al-Quran al-Karim :

Ertinya : ((Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama..)) ( At-Tawbah : 122 )  ,

Maka Allah SWT dengan itu, menjadikan tugas menuntut ilmu agama dan fiqh ini setaraf dengan tugas hebat pengorbanan jiwa dan nyawa di medan Jihad pada jalan Allah SWT demi meninggikan agama Allah di atas muka bumi. Sebagaimana Nabi Pilihan SAW menjadikan kesibukan dalam ilmu agama dan fiqh tidak kira samada mengajarkannya atau belajar,  adalah suatu tanda keinginan kepada kebaikan dari seorang hamba terhadap Allah SWT. Seperti sabdaan Nabi SAW :

Ertinya : “ Barangsiapa yang Allah SWT inginkan kebaikan baginya, maka Allah akan memberikan faham mendalam kepadanya tentang agama” 

Manakala “Ilmu Maqasid” adalah merupakan satu cabang dari cabang-cabang pokok yang diberkati tersebut, yang mana telah datang benih-benihnya yang subur dan baik  dari intipati ayat-ayat al-Quran yang Mulia. Lalu terseraklah cahayanya yang penuh berkat, disadur dari kalam-kalam Nabi SAW yang penuh bermakna. Kemudiannya diadun dan ditenun oleh tangan-tangan para ulama ummah dan pewaris-pewaris tugas kenabian sehingga matang dan mampu bangkit kemas, lalu akhirnya dituai buah-buahnya oleh tangan seorang ‘alim yang bijaksana dan terbilang, Imam As-Syatibi (w 790 H) , semoga Allah mencucuri rahmat padanya.

“Ilmu Maqasid” juga sebenarnya, ibarat hati daripada jasad, iaitu jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu syariah yang lain. Malah dengan pengamatan dan pemahaman terhadapnya, mampu menjauhkan penghadang amalan-amalan daripada diterima Allah SWT, serta ia juga telah membuka mata dan pintu-pintu untuk mengajar tentang kepentingan tujuan dan maksud amalan. Ia juga telah menjauhkan kefahaman-kefahaman singkat jenis ‘kulit’ tanpa isi pada hukum-hakam yang ditetapkan oleh syariat. Selain itu, Ilmu Maqasid juga secara langsung telah menegaskan bahawa kesesuaian syari’ah dan kemampuannya untuk bertahan dalam menempuh zaman yang pelbagai hanya dapat diperolehi dengan menyelam dan meneliti di sebalik hukum zahirnya lalu mempamerkan ruh dan keindahannya, hasil penelitian penuh dan jauh terhadap tujuan dan matlamatnya. Justeru, kita dapat melihat bagaimana ulama di zaman kita, serta pusat-pusat kajian ilmu-ilmu Islam telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengkaji ilmu ini dan memberikannya perhatian khas. Terutamanya di zaman ledakan maklumat dan banjiran isu-isu kontemporari yang pelbagai, yang mana ianya memaksa individu yang ingin mempertahankan ilmu-ilmu syara’ , berada dalam keadaan cukup bersedia dan berijtihad bagi menjelaskan hikmah-hikmah dan rahsia di sebalik hukum syara’. Tanpa syak lagi sesungguhnya ilmu “maqasid syari’ah” dengan kaedah-kaedahnya yang mantap, dan syarat-syaratnya yang teliti, dan kaya dengan alatan kefahamannya yang cukup fleksible, mampu untuk mempersembahkan yang terbaik dalam hal yang tersebut tadi. Dan bertitik tolak dari keadaan inilah, maka pelajar yang bersungguh Zaharuddin Bin Abd Rahman berasal dari Malaysia tampil bagi menyemai benih di taman ‘ilm maqasid’ yang masak ranum dan subur berbuah ini. Maka dengan izin Allah swt, beliau melalui penyelidikannya yang bermatlamat pendedahan matlamat syariah, hikmah dan rahsianya dalam hukum jual beli islam, telah berjaya memetik bunga-bunga yang bermanfaat dari taman ini, sesungguhnya ia adalah  melalui hasil usahanya yang berterusan, serta kajiannya yang rajin dan bersungguh-sungguh. juga ditambah pula dengan kecintaannya terhadap ilmu-ilmu syar’ie, juga berkat kesungguhannya untuk menambah perolehan  manfaat dari ilmu Syar’ie. Telah kelihatan sifat-sifatnya tadi dengan cukup jelas melalui kebersamaan aku dengannya dalam suatu jangka waktu yang panjang, sepanjang tempoh pengajiannya, dan ketika aku menjawab persoalan-persoalan hukumnya (ifta’) , dan juga semasa menyelia tesisnya secara ilmiah. Maka dengan itu, aku berdoa agar Allah SWT menerima usaha ini dan meletakkannya di dalam bilangan amal yang di manfaatkan, dan semoga beliau menjadi pendorong buat rakan-rakannya yang lain untuk tampil ke hadapan memberikan input yang bernilai bagi menyinari cabang-cabang ‘Ilmu Maqasid’ serta menjelaskan kehebatannya, dan kbesaran keberkatannya di samping selurh ilmu-ilmu Syari’ah yang penuh berkat.

Ulasan Ringkas Kandungan Tesis Zaharuddin Abd Rahman Bertajuk :  “Maqasid As-Shariah fi Ahkami Al-Buyu’”

Tesis bertajuk “ Maqasid as-Syari’ah Fi Ahkam al-Buyu’ “ (Hikmah Syari’ah di dalam hukum-hakam Jual Beli) tulisan Ust Hj Zaharuddin Bin Hj Abd Rahman, telah di munaqasyahkan pada 29 July 2004 yang lalu, di hadapan beberapa orang ulama terbilang seperti Syeikh Prof. Dr. Muhammad ‘Uqlah El-Ibrahim, Syeikh Prof. Dr. Abd Malik As-Sa’di, Prof. Dr. Abd Nasser Abul Basal ( Dekan Fakulti Syari’ah Univ. Al-Yarmouk) dan Prof. Madya Dr. Zakaria Md Al-Qudah ( Ketua Jabatan Fiqh & Usul Fiqh, Univ. Al-Yarmouk). Alhamdulillah, telah berjaya mencapai keputusan lulus dengan Jayyid Jiddan. Majlis Munaqasyah ini dijalankan di Bilik Khas Munaqasyah Disertasi Sarjana dan PhD di Tingkat 4, Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti al-Yarmouk. 

Tesis ini mempunyai dua objektif terbesar iaitu :

1)     Mendedahkan kehebatan Syari’ah Islam dalam setiap hukum hakam yang berkaitan dengan jual beli, di mana setelah diteliti, seseorang akan mendapati bahawa setiap hukum yang diwartakan oleh Islam melalui Al-Quran & As-Sunnah, tersirat dan tersurat  padanya seribu satu macam hikmah dan rahsia. Penulis yakin setiap hikmah ini jika didedahkan, pastinya dapat menambah keyakinan umat Islam terhadap kecantikan, kesyumulan dan kehebatan hukum Islam, dan sekaligus dapat menangkis tohmahan-tohmahan daripada pihak yang membenci Islam dan yang mereka yang kerap menimbulkan keraguan masyarakat tentang relevansi Islam di zaman ini. Maka melalui kajian tesis ini, penulis cuba mendedahkan rahsia dan hikmah daripada beberapa intipati hukum jual beli Islam demi mencapai matlamat yang dinyatakan tersebut. 

2)     Kajian ini juga berperanan membuat kajian hukum secara terperinci tentang beberapa isu baru yang melibatkan jual beli, seperti hukum Islam dalam hal menjual alat muzik, jual beli secara elektronik (e-dagang), jual beli beserta riba dengan kafir harbi di negara perang, Jula beli hak ma’nawi (seperti hak cipta, hak nama syrarikat dan sepertinya), Jual beli moden secara ‘As-Salam’.  Maka selepas mendedahkan pelbagai ijtihad para ulama tentang hukum jual beli perkara di atas tadi, penulis akan membuat pertimbangan secara ilmiah untuk mengeluarkan satu pandangan yang terkuat berdasarkan penelitian terhadap dalil setiap kumpulan.

Akhirnya, penulis sekali lagi akan melengkapkan pusingan kajiannya, dengan memaparkan hikmah serta rahsia di sebalik hukum yang dipilih, dengan demikian diharapkan ia dapat menambahkan lagi keyakinan setiap pembaca tentang kemantapan dan kehebatan Syari’ah Islam. Manakala hukum yang terkuat (Rajih) pada hemat pengkaji dalam isu yang tersebut di atas adalah :-

1)     Hukum Jual Beli Alatan Muzik – Haram kerana majoriti masyarakat hari ini tidak menggunakan alatan muzik kecuali pada tempat yang diharamkan, hukum haram ini juga dapat menjamin si penjual agar tidak terlibat sama dalam hal dosa. Allah SWT secara terang telah melarang sebarang kerjasama dalam hal dosa. Selain itu, ‘uruf hari ini juga memaparkan bahawa alatan muzik hanyalah mainan orang-orang fasik, justeru adalah menjadi suatu aib orang-orang mukmin tulen terjebak dalam hal ini, kerana Nabi SAW pernah mengingatkan “Sesiapa yang meyerupai sesutau kaum (secara sengaja dan berbangga dengan penyerupaan tadi) maka mereka adalah termasuk dari kalangan kaum itu”. Banyak lagi hujjah yang diutarakan dan bukanlah ruang yang sesuai untuk dinukilkan semua di ruangan terhad ini. Bolehlah merujuk ke tesis yang ditulis bagi sesiapa yang inginkan huraian terperinci.

2)     Hukum jual beli hak cipta atau harta yang tidak berjisim seperti hak pemikiran kritis, hak cipta tulisan, hak nama syarikat terpelihara dan lain-lain yang sepertinya. Setelah kajian dibuat, mendapati bahawa Islam mengiktiraf hak ini sebagai suatu jenis harta yang boleh diperdagangkan, dan Islam juga mengiktiraf ianya suatu hak yang tidak harus dicerobohi oleh pihak lain. Justeru, hampir seluruh ulama Islam kontemporari telah berbincang tentang hal ini, dan bersepakat tentang hukum Haram keatas jualan setiap barangan cetak rompak, juga tidak harus menisbahkan sesuatu pandangan (dalam hal kajian ilmiah) kepada diri sendiri kiranya ia adalah disadur dari pandangan orang lain. Manakala, Hikmah Syariah dalam pengiktirafan hak ini antara lain adalah, memaparkan pengiktirafan Islam terhadap perkara-perkara yang membawa manfaat besar, juga menunjukkan bagaimana Islam memandang serius hal pencerobohan hak individu kerana ia adalah suatu kezaliman yang jika tersebar boleh mengakibatkan pengaduhan, pertambahan sikap malas dalam diri, kerana boleh bersenang lenang dengan hasil usaha orang lain dan lain-lain.

3)     Hukum Islam dalam urusan jual beli dengan Riba di antara Muslim dan Kafir Harbi di Negara Kafir, adalah tetap Haram tanpa sebarang pengecualian. Adapun pandangan mazhab Hanafi  yang dikatakan membolehkan riba diantara Muslim dan Harbi adalah dalam konteks berlainan. Maka hasilnya, tidak harus bagi seorang Muslim sengaja menyimpan wang simpanannya di bank di negera barat dengan niat untuk sengaja mendapatkan lebihan riba. Turut dihukumkan tidak harus adalah sebarang urus niaga yang terlibat dengan riba walaupun dengan bukan Islam. Antara hikmahnya, adalah Islam mencela sifat hipokrasi dalam diri muslim , aiaitu tidak berurus niaga dengan riba di kalangan muslim, tapi menerima & memberi riba apabila berurus niaga dengan non-muslim, ia adalah sifat hipokrasi tercela dalam Islam.

4)     Hukum Islam dalam hal menangguh serahan barang dan mendahulukan pembyaran kepada peniaga (dinamakan dalam Islam Ba’y as-Salam) adalah harus demi memudahkan umat Islam memacuk pertumbuhan ekonomi dan perniagaan. Kaedah bay As-Salam ini telah dapat dimanfaatkan dalam urusniaga moden dalam pelbagai bentuk.

5)     Hukum Islam secara ‘am dalam hal e-dagang adalah harus dengan pelbagai syarat yang wajib diketahui bagi sesiapa yang ingin terlibat dalam industri jual beli melalui internet ini. Perbincangan tentangnya adalah agak panjang dan sukar untuk dimuatkan di ruangan terhad ini.  Di samping isu-isu tersebut tadi, kajian tesis ini juga mendedahkan beberapa kaedah yang diterima para ulama untuk menetapkan sesuatu ‘Maqasid Hukum’ , antara kaedah yang diutarakan adalah berikut :-

  1. Penelitian terperinci ke atas dalil Al-Quran dan Sunnah yang jelas.
  2. Kajian menyeluruh terhadap tindakan Syari’ dalam bab hukum hakam.
  3. Meneliti kefahaman para sahabat dalam memahami nas.
  4. Menggunakan aqal yang sihat dengan menjaga had-had yang dibenarkan.

Untuk makluman, setiap kaedah ini punyai huraian terperinci dan pembhagaian yang pelbagai, yang mana ianya perlu dihadamkan oleh pembaca agar dapt memahaminya dengan baik. Jika tidak, pembaca mungkin akan terjerumus dalam silap faham.  Akhirnya, pihak penulis mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan rakan-rakan seperjuangan yang berada di bumi Jordan ini dan khususnya di Universiti Al-Yarmouk, semoga anda diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus maju dan cemerlang dalam ilmu dan amal. Ingatlah jalan kepada kejayaan adalah usaha dan menempuh kesukaran.

Penyair Arab silam ada mengungkapkan:  ترجو النجاة ولم تسلك مسالكها         إن السفينة لا تجري على اليبس

Ertinya : “Kamu mengharapkan kejayaan sedangkan kamu tidak menuruti jalannya, Sedarah sesungguhnya Kapal tidak boleh belayar di atas daratan.” 

Juga ingatlah mutiara ilmu dari Imam Hasan Al-Basri ketika mentafsirkan ayat surah Shod: 28 dengan katanya

:إن قوماً خرجوا من الدنيا ولا عمل لهم وقالوا نحسن الظن بالله , وكذبوا , لو أحسن الظن لأحسنوا العمل

Ertinya : Terdapat satu jenis kaum yang ketika matinya ( meninggalkan dunia) , tiada amalan yang dibawa bersamanya, maka tatkala ditanya , mereka menjawab : “Sesungguhnya kami BERSANGKA BAIK dengan Allah SWT ( untuk mengampun dan menghadiah syurga kepada mereka walaupun tanpa amal yang wajar)” Sesungguhnya mereka TELAH BERBOHONG, kerana kiranya merka bersangka baik kepada Allah SWT nescaya pastilah mereka memperkemas dan mempercantikkan amalan mereka.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: